Saya begitu tertarik dengan beberapa isu dan pergolakan dalam perlantikan Menteri Besar untuk negeri Perak, Perlis dan Terengganu baru-baru ini. Sedia maklum, setakat hari ini, Perak dan Perlis telah selesai dalam melantik MB masing-masing, iaitu, YAB Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak dan YAB Datuk Dr. Md. Isa Sabu sebagai MB Perlis. Tahniah dan semoga kedua-dua YAB ini dapat memacu kemajuan negeri masing-masing dalam penggal 5 tahun perkhidmatan akan datang.
Namun, saya agak terkejut dan terkilan apabila terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba memperkecil dan memperlekehkan peranan institusi beraja dalam perlantikan MB ini. Lebih mendukacitakan saya ialah, layanan dan liputan media massa tempatan seolah-olah begitu berat sebelah dan hanya memihak kepada satu-satu pihak.
Kes pertama ialah, apabila Lim Kit Siang (DAP) dalam kenyataannya pada 12 Mac 2008 lepas selepas Pemangku Sultan Perak memperkenankan perlantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak. Lim Kit Siang yang kurang bersetuju dengan perlantikan itu kemudiannya telah membuat kenyataan meminta ADUN-ADUN DAP perak untuk memulaukan majlis angkat sumpah perlantikan MB Perak di hadapan Pemangku Sultan Perak itu. Berikut merupakan paparan media mengenai tindakan Lim Kit Siang.
DAP PULAU MAJLIS ANGKAT SUMPAH MB PERAK HARI INI (Utusan Malaysia – 12 Mac 2008)
”KUALA LUMPUR 12 Mac – Semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Perak diarahkan memulaukan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok sebagai membantah pelantikan wakil rakyat Pas sebagai Menteri Besar negeri itu.
Penasihat DAP Pusat, Lim Kit Siang berkata, tindakan tersebut diambil kerana pelantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, daripada Pas yang merupakan wakil rakyat parti ketiga dan terkecil dalam kerajaan campuran itu tidak mendapat mandat daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.”
Reaksi segera daripada pemimpin UMNO dan rakyat Malaysia, khususnya Melayu adalah membantah, menyelar dan mengutuk kenyataan YB Lim Kit Siang yang dilihat menghina institusi beraja di Perak. Terus-terang, walaupun saya bukan Melayu, saya juga terkejut dengan kenyataan YB Lim ini dan juga sangat tidak bersetuju dengan kenyataan beliau. Akhirnya, YB Lim memohon maaf secara terbuka dan juga telah menghadap Raja Dr. Nazrin bagi memohon maaf dan menjelaskan tindakan beliau. Tahniah kepada YB Lim, kerana paling tidak, beliau tahu memperbetulkan apa yang salah demi ketenteraman awam.
Setelah selesai kemelut perlantikan MB Perak, geloranya beralih pula kepada negeri Perlis. Kali ini, di sebuah negeri yang dikuasai oleh BN. Datuk Dr. Md. Isa Sabu menjadi pilihan istana manakala Datuk Seri Shahidan Kassim (MB sebelum ini) pula dikatakan telah mendapat watikah perlantikan daripada PM.
Perebutan jawatan Menteri Besar Perlis akhirnya selesai apabila Datuk Dr. Md Isa mengangkat sumpah jawatan di Istana Diraja Arau sebagai MB baru Perlis menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim. Semua ADUN hadir pada majlis itu, kecuali ADUN Tambun Tulang yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim. Shahidan ketika dihubungi menjelaskan beliau bukan memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baru, tetapi tidak mendapat maklumat mengenainya.
Saya hairan, bagaimana seorang ADUN yang juga bekas MB Perlis tidak mendapat maklumat mengenai istiadat angkat sumpah jawatan MB baru di Perlis? Pada hemat saya, memang ada unsur ”tidak puas hati” dan ”kecewa” pada Datuk Seri Shahidan Kassim yang kemudiannya dijelmakan kepada ”ketidakhadiran” beliau ke majlis penting ini. Bukankah ini juga secara terang-terang menunjukkan beliau ingkar dan memboikot istiadat tersebut? Dan untuk meringkaskan ayat, tidak menghormati Raja Perlis?
Yang menghairankan saya, penjelasannya yang mengatakan bahawa beliau tidak mendapat maklumat mengenainya seoalah-olah adalah diterima dan ”dihalalkan” oleh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu. Tidakkah kita mempunyai akal otak untuk menilai perbuatan beliau? Media tidak lagi membuat sebarang ulasan dan liputan mengenai isu pelantikan MB Perlis selepas itu dan rakyat, khasnya Melayu seolah-olah ”memaafkan” tindakan Datuk Seri Shahidan Kassim itu.
Setelah selesai isu pelantikan MB di Perak dan Perlis, kini, timbul pula isu perlantikan MB Terengganu. Setelah upacara angkat sumpah MB yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 10 Mac 2008 membabitkan Datuk Seri Idris Jusoh dibatalkan, Pejabat Sultan Terengganu dalam kenyataan pada 22 Mac 2008 mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar baru. Berikut merupakan kenyataan media mengenai kenyataan terbabit:
22 ADUN BN TERENGGANU PULAU MAJLIS ANGKAT SUMPAH MB (Berita Harian – 23 Mac 2008)
”KUALA TERENGGANU: Pejabat Sultan Terengganu semalam mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar baru walaupun 22 Adun Barisan Nasional (BN) di negeri ini sebulat suara mahukan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula. Berikutan itu, semua 22 Adun yang mengadakan mesyuarat khas di sini semalam, berikrar memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad, sebagai Menteri Besar yang dijadualkan di Istana Tamu, pagi ini. Malah, mereka turut menegaskan akan meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula untuk jawatan itu.”
PELANTIKAN MB TERENGGANU TERTANGGUH HAMPIR DUA MINGGU SELEPAS WATIKAH DIKELUAR (Berita Harian – 22 Mac 2008)
”KUALA TERENGGANU: Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Terengganu semalam sebulat suara membantah dan menolak campur tangan istana dalam pelantikan Menteri Besar yang tertangguh hampir dua minggu sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, pada 8 Mac lalu. Ketua Pemuda negeri, Mohd Sabri Alwi, berkata pihaknya mendakwa campur tangan istana menyebabkan pelantikan Menteri Besar yang sepatutnya sudah berlangsung minggu lalu tertangguh dan keadaan itu menjejaskan pentadbiran negeri.
Justeru, katanya, semua sayap Umno negeri bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Mubarak) dan 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional berdiri teguh menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Idris Jusoh, untuk terus menerajui Terengganu. "Sebab itu kami sebulat suara menyatakan pendirian menolak campur tangan istana dalam pelantikan Menteri Besar.” Kali ini, kita melihat pula bagaimana ahli-ahli UMNO dan orang Melayu sendiri menyatakan hasrat untuk memboikot upacara mengangkat sumpah MB baru Terengganu, YB Datuk Ahmad Said.
Soalnya di sini ialah, siapakah sebenarnya pemutus kata terakhir dalam perlantikan MB untuk sesebuah negeri? Kuasa Perdana Menterikah atau kuasa Sultan/Raja/TYT negeri?
Perlu diingatkan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya mengenai isu itu pada 18 Mac 2008 lepas berkata, dalam urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu, tidak timbul isu perebutan antara Pemangku Raja, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) atau kerajaan negeri.
Pelantikan Menteri Besar adalah proses yang ditentukan undang-undang sebagai mana termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Mana-mana orang yang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja atau MPPR atau sesiapa juga, tetapi seseorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Dalam soal pemilihan Menteri Besar Terengganu, Pemangku Raja dan MPPR adalah terikat kepada undang-Undang itu dan sesiapa juga daripada ADUN yang pada fikiran Pemangku Raja dan MPPR mendapat kepercayaan kebanyakan ADUN itu hendaklah dilantik sebagai MB.Abdul Gani juga berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar kerana baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya kepada Pemangku Raja dan MPPR.
Oleh yang demikian, saya berasa hairan, apakah tindakan memboikot upacara dan istiadat rasmi istana adalah dihalalkan untuk pemimpin-pemimpin BN-UMNO yang kononnya menyatakan sokongan terdapat pucuk pimpinan parti dan Perdana Menteri? Tidak pula tindakan sedemikian menjadi satu isu hangat sedangkan apabila YB Lim Kit Siang berbuat demikian, beliau diselar dan dikutuk?
Selepas kenyataan YB Lim dalam isu di Perak, orang-orang Melayu dan UMNO telah begitu lantang mengkritik beliau dan tidak juga kurang hebatnya apabila mengadakan perhimpunan mengutuk beliau dan menyatakan sokongan kepada institusi beraja (bersultan). YB Lim juga berkali-kali diingatkan agar tidak cuba bermain dengan isu yang boleh mengugat ketenteraman awam. Memang benar, YB Lim harus bertanggungjawab terhadap kenyataannya dan beliau telah pun menerima pengajarannya.
Namun, yang menjadi isu dan persoalannya sekarang ialah, apa pula reaksi dan respons rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu terhadap tindakan memboikot istiadat rasmi istana Terengganu dalam perlantikan MB baru di kalangan pemimpin-pemimpim BN-UMNO negeri Terengganu sendiri? Tidakkah mereka merasakan golongan yang memboikot ini turut cuba memainkan isu dan memperlekeh serta tidak menghormati keputusan istana dan Sultan? Apakah apabila kenyataan ”memboikot” ini datang daripada mulut seorang yang bukan Melayu, maka, ianya menjadi satu isu, dan apabila ianya datang daripada mulut seorang Melayu, ianya bukan satu isu tetapi lebih kepada sokongan kepada keputusan pucuk pimpinan parti dan Perdana Menteri demi mengelakkan perpecahan dalam parti UMNO?
Tidakkah rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu memikirkan untuk membantah dan mengkritik tindakan dan kenyataan pemimpin UMNO negeri Terengganu ini kerana ianya turut merupakan perbuatan yang tidak menghormati Sultan dan istana, sama seperti kesnya di negeri Perak, sebuah negeri yang dikuasai oleh pakatan parti pembangkang? Apakah tindakan memboikot arahan Sultan daripada kerajaan BN-UMNO adalah sesuatu yang ”halal” dan apabila kerajaan pakatan pembangkang berbuat demikian, ianya adalah perbuatan terkutuk dan tidak beretika?
Mana perginya peranan media massa dalam hal ini? Mana pula perginya suara-suara lantang daripada para cendekiawan, nasionalis dan para ulama tentang tindakan terbaru BN-UMNO di Terengganu untuk memboikot upacara angkat sumpah jawatan MB baru? Mana perginya NGO-NGO Melayu yang sebelum ini lantang mengkritik tindakan memboikot istiadat istana yang sama di Perak? Tidak adakah perhimpunan untuk menunjukkan sokongan terhadap Sultan Terengganu dan tidak adakah usaha untuk mengingatkan pemimpin BN-UMNO agar tidak memainkan isu dan memperlekehkan institusi beraja/bersultan di Malaysia?
Saya cukup kecewa dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Kekecewaan saya boleh disimpulkan dengan perkara-perkara berikut:
1. Layanan berat sebelah media massa dalam memberi liputan terhadap isu yang sama membabitkan parti pembangkang dan kerajaan BN-UMNO.
2. Pemimpin parti politik sama ada pembangkang ataupun BN telah mula menunjukkan sikap ”biadap” dan ”menderhaka” terhadap keputusan dan titah sultan dan raja.
3. Parti politik nampaknya lebih mementingkan apa yang disebut sebagai ”perpaduan” dalam parti berbanding dengan hierarki kuasa sultan dalam melantik MB di negeri-negeri bersultan mengikut perlembagaan negeri masing-masing.
4. Watikah perlantikan MB daripada Perdana Menteri seolah-olah lebih tinggi ”nilai”nya berbanding watikah perlantikan daripada Sultan/Raja di negeri.
5. Rakyat nampaknya tidak berpendirian dan berprinsip dalam memperjuang dan menegakkan institusi beraja/bersultan di Malaysia. Apabila isu ”memboikot” membabitkan parti pembangkang, rakyat begitu prihatin dengan kedaulatan sultan. Namun, apabila isu ”memboikot” ini membabitkan BN-UMNO, rakyat nampaknya lebih memilih untuk ”merestui” mandat dan keputusan Perdana Menteri dalam melantik MB.
6. Tiada usaha langsung daripada mana-mana pihak untuk mendesak pemimpin BN-UMNO ini untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan ”memboikot” istiadat istana ini yang memang secara terang-terang mengingkari dan tidak menunjukkan rasa hormat terhadap institusi beraja/bersultan.
Sekali lagi saya ingin tegaskan, di Malaysia, kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan adalah lebih tinggi berbanding perlembagaan persekutuan dan negeri. Sebarang tindakan daripada mana-mana pihak yang secara terang-terang memboikot dan menderkaha kepada titah sultan adalah dianggap biadap, tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati institusi beraja/bersultan itu sendiri.
Walaupun saya bukan Melayu, namun, saya tetap merasakan setiap rakyat Malaysia (bukan hanya Melayu) perlu menghormati institusi beraja/bersultan, sepertimana yang termaktub dalam perkara kedua Rukun Negara Malaysia – ”Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”. Kita haruslah menjunjung titah dan menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan dan Raja.
Akhirnya, saya melontarkan satu persoalan untuk direnungi bersama, siapakah sebenarnya yang menderkaha kepada Sultan?
Saturday, March 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment