Saturday, March 29, 2008

PERIBUMI SABAH DAN SARAWAK PALING MISKIN DI MALAYSIA - UNDP

Penemuan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei baru-baru ini menunjukkan bahawa kaum peribumi di Sabah dan Sarawak yang berstatus bumiputera, serta penduduk di kawasan pedalaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang majoritinya orang Melayu, adalah antara kumpulan yang paling miskin di Malaysia.

Penemuan yang dibentangkan dalam Persidangan Kemiskinan Antarabangsa yang merupakan anjuran bersama UNDP, EPU, Institut Bank Dunia serta Pusat Pengajian Kemiskinan dan Pembangunan Universiti Malaya (UM) turut mendedahkan bahawa, kebanyakan mereka yang berada dalam golongan miskin ini mengusahakan sektor pertanian. Menurut buku yang dihasilkan bersama oleh EPU-UNDP yang bertajuk “Malaysia: Measuring and Monitoring Poverty and Inequality”, garis kemiskinan bagi Semenanjung Malaysia pada tahun 2004 ialah RM543, RM704 (Sabah) dan RM608 (Sarawak), di mana isi rumah dengan pendapatan di bawah garis kemiskinan ini dikategorikan sebagai miskin.

Penemuan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan saya, kerana umum tahu, saya merupakan penduduk Sarawak yang memang telah sedia maklum dengan situasi dan kehidupan di Sarawak. Soalnya di sini, bukan “Siapa Lebih Miskin”, namun, mengapa keadaan ini masih boleh berlaku? Tahniah kepada kerajaan kerana telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 5.7% pada tahun 2004, berbanding 49% pada tahun 1970. Pun begitu, seperti yang saya bincangkan sebelum ini, angka ini mungkin boleh “diragui” ketepatannya jika dibandingkan dengan keadaan sebenar.

Saya berasa hairan, mengapa hanya peribumi Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Kedah yang tergolong dalam kategori ”paling miskin” di Malaysia ini. Ini kerana, wujud persamaan yang ketara di antara negeri-negeri yang disebutkan di atas, iaitu:

i. Negeri Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu adalah kaya dengan sumber hasil buminya, iaitu hutan untuk aktiviti pembalakan.
ii. Negeri Sarawak, Sabah dan Terengganu merupakan negeri pengeluar minyak mentah terbesar di Malaysia.
iii. Taraf hidup rakyat di negeri Sabah dan Sarawak adalah masih rendah secara relatifnya jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
iv. Negeri-negeri ini mempunyai prospek yang cukup baik dalam Industri Kecil dan Sederhana (sebut saja batik kelantan, terengganu...siapa tak kenal?).
v. Negeri-negeri ini memiliki keunikan dan keindahan flora dan faunannya yang boleh menarik pengunjung dari serata dunia untuk melawatnya.

Oleh itu, yang menjadi persoalannya di sini, apakah penurunan kadar kemiskinan daripada 49% (1970) kepada 5.7% (2004) di Malaysia menunjukkan realiti yang sebenarnya? Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di kawasan pedalaman Sarawak (dalam Pasukan Bantuan Sukarela – Bulan Sabit Merah Malaysia), nampaknya, angka yang diberikan ini, tidak menggambarkan apa yang saya ”lihat”. Jika benarlah pengusaha pertanian ini merupakan antara golongan yang termiskin, tiadakah usaha drastik yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka? Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tiap-tiap bulan mengatakan Sektor Pertanian haruslah diterokai dan dikomersialkan, namun, saya melihat, ianya seolah-olah menjadi ”Matlamat dan Tujuan” tanpa melihat kepada ”Masalah dan Realiti” pengusaha pertanian kecil dan konvensional.

Lebih mendukacitakan saya ialah kenyataan Penasihat Petugas Khas Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Dr Zainal Aznam Yusof yang mengatakan bahawa kerajaan akan memberi fokus kepada masalah kemiskinan bandaran (urban) yang semakin meningkat di kawasan bandar. Jadi, apa pula yang akan berlaku dengan peribumi di kawasan pedalaman, khasnya di negeri Sabah dan Sarawak? Tidakkah ada usaha yang lebih ”ke depan” untuk membantu masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman? Berapa kalikah pegawai NITF menjejakkan kaki ke pedalaman Sabah dan Sarawak untuk merasai keadaan hidup masyarakat di sana?

Saya berasa hairan, negeri yang menjadi ”negeri termiskin” ini, memiliki hasil bumi yang cukup berharga, namun, ianya seolah-olah tidak dapat dinikmati oleh rakyatnya sendiri. Apa telah berlaku? Kerajaan harus menjawab. Tak guna jika kita gah di mata dunia dengan Menara Berkembar Petronas, Angkasawan pertama Asia Tenggara, Litar F1 tercanggih di rantau ini...jika rakyat peribumi di kawasan pedalaman, tidak dapat ikut serta dalam menikmati kemewahan ini.

Saya menuntut agar perancangan yang lebih telus dikaji dan dilaksanakan oleh KERAJAAN dalam membantu mengurangkan kadar kemiskinan secara relatif masyarakat peribumi di negeri Sabah dan Sarawak, dan bukannya hanya bermain dengan angka dan statistik bahawa kerajaan telah ”berjaya” dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia. Ingat...bukan kadar kemiskinan di Malaysia yang harus menjadi perhatian, namun, kadar kemiskinan di setiap negeri di Malaysia yang harus diberi penekanan.

No comments: