Saturday, March 29, 2008

PILIHAN RAYA KE - 12 MALAYSIA

Pilihan Raya Ke-12 Malaysia berjalan lancar seperti yang diharapkan. Seperti yang dijangkakan, BN kembali berkuasa untuk membentuk kerajaan tetapi dengan kurang majoriti 2/3 di parlimen. Pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS berjaya membuat kejutan cukup besar sejak 1969 apabila berjaya memenangi 82 kerusi, sekaligus menafikan majoriti 2/3 BN. PKR memenangi 31-kerusi, DAP-28 kerusi dan PAS-23 kerusi. Lebih memeranjatkan, pakatan pembangkang berjaya menguasai 5 buah negeri, iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Setakat ini, PAS akan memiliki 3 Menteri Besar, iaitu di Kelantan, Kedah dan Perak, manakala DAP dan PKR masing-masing akan memiliki seorang Ketua Menteri dan Menteri Besar, iaitu DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor.

ANGIN PERUBAHAN (WIND OF CHANGE). Begitulah pernyataan pelbagai pihak terhadap suara dan kuasa rakyat dalam pilihanraya kali ini. Yang pasti dan jelas, rakyat inginkan perubahan, terutamanya dalam isu-isu nasional seperti kenaikan harga minyak, inflasi yang tinggi, keselamatan, dan juga kenaikan harga barang. Pembangkang dilihat berjaya membawa isu-isu ini dengan begitu berkesan sekali sedangkan sepanjang tempoh masa berkempen, BN dilihat gagal untuk memberi penerangan dan menjawab permasalahan ini. Kejayaan pembangkang ini juga berjaya membuktikan bahawa mitos kerajaan BN tidak boleh ditumbangkan di Malaysia, kini hanyalah menjadi satu khabar angin kerana pembangkang bukan sahaja berjaya melakukannya di Kelantan kali ini, bahkan juga di 4 buah negeri lain. Mesejnya jelas, rakyat sudah lebih berani dan matang. Ditambah lagi dengan andaian bahawa kerajaan BN kurang peka dengan isu-isu nasional tadi, maka rakyat bertindak "menghukum" dan "mengajar" kerajaan BN.

Keputusan pilihanraya kali ini juga menampakkan satu trend pola pengundi yang cukup baru dan berlainan berbanding sebelum ini. PKR yang dikatakan begitu tenat dan tidak bermaya sebelum pilihanraya tiba-tiba muncul dengan kemenangan kerusi parlimen terbanyak berbanding parti pembangkang lain dengan 31 kerusi. Lebih menarik, kesemua 31 kerusi yang dimenangi ini terdiri daripada kombinasi wakil rakyat pelbagai kaum, sama ada Melayu, Cina, mahupun India. Berbeza dengan DAP yang majoritinya diwakili kaum Cina dan India serta PAS dengan wakil Melayu. Ini juga mungkin menandakan bahawa era perkongsian kuasa BN di antara pelbagai parti komponen berasaskan perkauman mula "ditolak" rakyat kerana PKR dengan konsep parti berbilang kaum mula dilihat sebagai alternatif untuk mengurangkan polemik dan isu perkauman dalam BN itu sendiri. Tambah menarik, isu-isu yang dibawa PKR dilihat lebih bersifat nasional dan global dengan penekanan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum berbanding BN : UMNO-Melayu, MCA-Cina dan MIC-India.

Namun, yang menjadi persoalannya di sini ialah, apakah kemenangan besar pembangkang kali ini adalah disebabkan oleh keberkesanan isu yang dibawa dan keyakinan rakyat terhadap pembangkang, ataupun ianya hanya sekadar suatu kemenangan akibat undi protes rakyat terhadap BN kerana beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan? Sekadar satu fakta yang menarik, MCA dan MIC bukan lagi parti yang mewakili suara kaum Cina dan India yang terbesar dalam parlimen. Suara majoriti kaum Cina dan India kini diwakili oleh DAP dan PKR dalam parlimen.

Trend ini juga menunjukkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, kaum Cina dan India memilih parti pembangkang untuk mewakili suara majoriti mereka di parlimen dan menolak mekanisme pembabitan bersama dalam kerajaan untuk membincangkan sesuatu isu. Apakah kaum Cina dan India melihat parti MCA dan MIC tidak lagi mampu untuk memperjuangkan hak mereka di parlimen, masih lagi sesuatu yang sukar untuk dijawab setakat ini. Mungkin juga, kaum Cina dan India beranggapan bahawa dengan memilih pambangkang untuk bersuara di parlimen, lebih banyak isu akan didengar oleh kerajaan BN di bawah pimpinan UMNO.

Persoalannya di sini cukup menarik, iaitu bagaimana parti pembangkang akan menterjemahkan manifesto pilihanraya masing-masing kepada suatu bentuk tindakan yang praktikal. Apakah PAS, DAP dan PKR mampu untuk merealisasikan janji-janjinya dengan pengundi masih lagi sesuatu yang menjadi persoalan. Namun, biarlah masa yang akan menentukannya dan berilah peluang kepada mereka untuk membuktikannya. Apa pun, tempoh masa lima tahun akan datang pastinya akan menjadi suatu tempoh yang kritikal, bukan saja untuk parti pembangkang, bahkan juga untuk kerajaan BN.

Ini kerana sekiranya parti pembangkang mampu untuk memberikan persembahan yang baik dan meyakinkan dalam tempoh pemerintahan masing-masing, berkemungkinan besar BN akan menghadapi kesukaran untuk menawan balik negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang. Namun, sekiranya rakyat melihat tidak ada perubahan yang mampu dibawakan oleh pembangkang, maka BN sudah pasti berpeluang untuk bertapak semula di negeri-negeri terbabit. Atau, apakah kerajaan pusat BN akan mengurangkan peruntukan bantuan kepada negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, masih lagi sesuatu yang menarik untuk kita perhatikan.

Apapun, pilihanraya kali ini memang sarat dengan pelbagai kejutan. Marilah kita berharap agar selepas ini, YB-YB yang menang akan lebih mendekatkan diri dengan rakyat dan meletakkan agenda rakyat dan kepentingan negara sebagai keutamaan dalam perjuangan mereka, tanpa mengira sama ada mereka dari BN ataupun parti pembangkang.

2 comments:

JiNG said...

walau ehhhhhhhh.. eh president.. you began your first step to change the world? hehe.. dont forget me.. im menteri teknologi..

Anonymous said...

ur blog looks sad. T.T

to have anyone reading it, first and foremost u will have to write it in english. for one to take it seriously, u will have to write in GOOD (read, AWESOME) english.

malay just didn't cut it. of coz, tat was entirely my personal insight.

*shrugs*