Sesuatu yang menarik untuk kita perhatikan di negeri-negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS ialah:
SELANGOR : Penghapusan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dalam pentadbiran negeri
KEDAH : Rancangan untuk melaksanakan Hukum Hudud dalam Mahkamah Syariah bagi orang-orang Muslim
PULAU PINANG : Penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang
Setelah YAB Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang baru mengumumkan bahawa kerajaan negeri PKR-DAP-PAS di bawah pimpinannya akan mendapatkan nasihat perundangan bagi membolehkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dihapuskan di negeri Selangor, Menteri Besar Kedah, YAB Azizan Abdul Razak pula mengumumkan rancangan pelaksanaan Hukum Hudud di negeri Kedah bagi Mahkamah Syariah untuk orang-orang Muslim, dan yang terbaru, YAB Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya selepas perlantikan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, mengumumkan bahawa Pulau Pinang akan menjadi negeri yang bebas daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Kenyataan menarik YAB Tuan Lim Guan Eng sejurus selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru menggantikan YBhg. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di hadapan TYT Pulau Pinang pada 11 Mac 2008 ialah Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri yang bebas daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ini meliputi pengamalan sistem tender secara terbuka dalam pemberian projek-projek negeri kepada mana-mana syarikat dan kontraktor tanpa mengira status bumiputera ataupun bukan bumiputera. Menurut YAB Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP Pusat, semua rakyat di negeri Pulau Pinang akan memiliki hak yang sama rata sebagai rakyat Malaysia dan tidak perlu bimbang akan dianaktirikan oleh kerajaan negeri pimpinannya. Antara yang terbaru adalah penghapusan kesalahan kompaun meletak kenderaan dan lesen penjaja di Pulau Pinang, sesuatu yang belum dapat dilihat di mana-mana negeri di bawah penguasaan kerajaan BN.
Ada yang melihat bahawa tindakan awal kerajaan negeri Pulau Pinang ini sebagai sesuatu yang drastik, namun, ianya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana perkara-perkara ini memang telah sedia termaktub dalam manifesto DAP dan juga PKR. Yang menarik di sini ialah, bagaimanakah sensitiviti kaum bumiputera, khasnya Melayu dengan kenyataan YAB Ketua Menteri baru ini? Bagaimanakah penerimaan mereka terhadap keputusan kerajaan negeri baru ini? Apakah hak istimewa yang dinikmati sebelum ini akan terhapus di bawah pimpinan kerajaan DAP-PKR ini? Jawapannya TIDAK. Hak istimewa orang Melayu (bumiputera) masih terpelihara dan terjaga di peringkat Kerajaan Persekutuan kerana ianya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang bakal berlaku di Pulau Pinang hanyalah akan meliputi soal-soal pemerolehan tender dan projek kerajaan negeri.
Seperti yang ditekankan oleh YAB Lim, penghapusan DEB ini bertujuan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia di Pulau Pinang akan dapat menikmati hak yang sama rata dalam memperoleh dan membida tender-tender kerajaan negeri di bawah pimpinannya. Ini bererti, hanya syarikat-syarikat yang betul-betul berkelayakan dan berkemampuan sahaja yang akan mendapat tender negeri yang akan dibuat secara terbuka dan transparent. Mungkin ini adalah sesuatu yang baik kerana ianya akan mengurangkan budaya kronisme dan nepotisme sesetengah pihak dalam memperoleh sesuatu tender dan projek. Jika sebelum ini, kita sering mendengar bagaimana sesebuah syarikat mendapat tender kerana adanya ”hubungan baik” dengan orang-orang tertentu dalam kerajaan, namun, mungkin dengan kaedah tender terbuka ini, lebih ramai kontraktor dan syarikat akan mampu bersaing secara lebih adil mengikut kemampuan masing-masing dalam mendapatkan sesuatu projek. Seterusnya, lebih banyak transparency dalam pentadbiran kerajaan dapat diperlihatkan di dalam kerajaan negeri.
Setakat mana keberkesanan dan kebolehlaksanaan ketiga-tiga rancangan dan dasar baru pakatan pembangkang di ketiga-tiga negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, masih lagi menjadi satu persoalan. Namun, yang pasti, ada perubahan yang cukup drastik dan berani telah mula dibawa oleh parti pembangkang selepas kemenangan mereka dalam pilihanraya yang lepas, sekaligus menampakkan kelainan dalam pentadbiran mereka. Ini juga menandakan bahawa rakyat inginkan perubahan dan manifesto pembangkang nampaknya berjaya menambat hati pengundi untuk memberikan peluang kepada pembangkang untuk melaksanakan apa yang telah mereka janji dalam kempen pilihanraya yang lepas, sekaligus merupakan suatu tanggungjawab dan cabaran yang cukup berat untuk dipikul oleh kerajaan-kerajaan negeri pakatan pembangkang.
Yang lebih jelas di sini, rakyat inginkan kerajaan BN lebih telus dalam pentadbiran mereka, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan hak dan kepentingan bersama rakyat yang sebelum ini nampaknya agak terbatas di bawah AKTA OSA dan peluang untuk mendapatkan tender yang lebih ”berat” kepada sesetengah pihak, yang mempunyai kepentingan dengan pentadbiran kerajaan BN, sehinggakan kontraktor bumiputera yang lebih layak pun gagal mendapatkan projek kerajaan pusat/negeri. Ditambah lagi dengan pengumunan projek-projek besar kerajaan BN sebelum ini yang nampaknya hanya gah pada nama sedangkan rakyat di peringkat akar umbi seolah-olah tidak merasai langsung faedah masing-masing, terutamanya dari segi penambahbaikan taraf hidup.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment