Saturday, March 29, 2008

MANSUHKAN AUKU DI IPTA MALAYSIA?

Baru-baru ini, seorang teman bertanyakan kepada saya tentang pandangan saya mengenai hasrat Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang baru, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengkaji dan menggubal semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) setelah hasil keputusan undian SMS Buletin Utama TV3 pada 24 Mac 2008 membuktikan penonton menolak AUKU dengan 91 peratus undian menyatakan sokongan supaya Akta yang menyekat kebebasan mahasiswa ini dimansuhkan.

“Terdahulu, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan akan meminda Auku bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan. Beliau berkata, kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam Auku menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.” Harakah Daily - 27 Mac 2008

Saya mengalu-alukan cadangan ini dan berpendapat ianya sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi, dan bukannya sekarang. Namun, saya tertanya-tanya, apakah kenyataan Menteri KPT ini hanyalah suatu propaganda demi kepentingan “survival politik” pihak-pihak yang berkepentingan semata-mata, ataupun adakah ianya benar-benar telus untuk dilaksanakan?
Beberapa persoalan yang boleh dilontarkan mengenai hasrat ini termasuklah:

1. Apakah Menteri baru ini beranggapan bahawa pelaksanaan AUKU di zaman Dato’ Mustapha Mohamed dan sebelumnya Dato’ Dr Shafie Mohd Salleh lebih ketat berbanding pada masa sekarang?
2. Mengapa perlu lagi propaganda dan undian pendapat untuk cadangan menggubal AUKU (atau memansuhkannya terus)? Tidakkah sebelum ini mahasiswa telah cukup terus-terang, melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada bulan September 2006, meminta agar beberapa bahagian dalam AUKU yang melibatkan kegiatan mahasiswa digubal oleh KPT (ketika itu, Menteri KPT ialah Dato’ Mustapha Mohamed)?
3. Tidakkah kenyataan Menteri baru ini untuk meminda AUKU bagi memberi lebih ruang dan kebebasan kepada pelajar dan universiti, mengundang satu persoalan lain – ”Apakah selama ini mahasiswa universiti benar-benar tidak bebas, dan sekaligus mengiyakan tuntutan dan dakwaan SMM, DEMA, PMI selama ini?”
4. Di manakah janji-janji yang ditaburkan oleh Menteri-menteri KPT sebelum ini untuk menggubal AUKU dengan MPP dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)? Apakah kenyataan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ini juga akan menjadi sesuatu yang ”hangat-hangat tahi ayam” dan akhirnya, berkesudahan seperti ”mencurah air ke daun keladi”?
5. Jika benar AUKU ini dipinda, bagaimana pula skop pindaan dan penggubalannya nanti? Apakah benar selepas pindaan nanti (jika berlaku), akan wujud lebih banyak ruang dan kebebasan untuk mahasiswa di universiti?
6. Adakah pindaan ini nanti hanya akan mengikut selera Menteri sahaja, dan apakah terdapat agenda lain di sebalik pindaan ini, termasuk untuk memudahkan kerajaan BN-UMNO untuk lebih mendekatkan diri dengan mahasiswa, yang turut membentuk jumlah pengundi (muda) teramai dalam Pilihan Raya 12 yang lepas?

Sebenarnya, kerajaan tidak perlu membuat apa-apa undian atau kajian pendapat bagi menggubal AUKU kerana AUKU memang telah lama ditentang oleh mahasiswa. Usaha penentangan ataupun persepsi mahsiswa terhadap AUKU ini boleh dilihat daripada dua perspektif.
1. Pertama – Mahasiswa yang ingin memansuhkan terus AUKU di Malaysia. Ini meliputi kebanyakan gerakan-gerakan ”anti-establishment” di IPTA seperti SMM, DEMA, PMI dan lain-lain.
2. Kedua – Mahasiswa yang ingin mengekalkan AUKU tetapi beberapa kaedah pelaksanaan dan peraturannya digubal bagi memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk bergerak aktif dalam kegiatan di kampus. Ini meliputi kebanyakan pemimpin pelajar MPP di IPTA.

Satu persoalan yang menarik untuk dibahaskan adalah, apakah KPT benar-benar bersedia untuk memberikan ”lebih banyak” kebebasan kepada mahasiswa dalam kampus? Atau, mungkinkah terdapat agenda politik di sebalik cadangan dan hasrat ini? Mungkin adalah tidak keterlaluan jika dikatakan, AUKU itu sendiri boleh/telah menghalang usaha BN untuk mendekati mahasiswa secara sedar ataupun tidak. Berdasarkan maklumat dalaman daripada Biro Tatanegara (BTN) dan KPT sendiri, salah satu sebab kekalahan besar UMNO dan BN berpunca daripada tindakan generasi muda yang tidak memberi undi kepada parti komponen BN dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Oleh itu, adalah tidak menghairankan jika apabila AUKU digubal nanti, tujuan sebenarnya hanya untuk memudahkan akses kepada UMNO dan BN ke atas mahasiswa, atau sekurang-kurangnya bertujuan menghalang parti-parti atau pertubuhan gerakan kiri (pembangkang) daripada mendekati mahasiswa.

Mungkin tidak ramai yang sedar, bagaimana Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang kini telah bergelar YB untuk parlimen Rembau, ketika kempen pilihanraya ke 12 yang lepas, telah masuk ke UTM Skudai dengan diiringi penyokong-penyokongnya bersama-sama bendera UMNO bagi mengadakan pertemuan dengan anak-anak pelajar negeri Kelantan. Kejadian ini sepatutnya menjadi satu isu, namun, ianya kemudian ”dirahsiakan”. Mungkin selepas insiden ini, pihak kerajaan, khasnya, BN-UMNO merasakan perlunya ada satu saluran yang lebih ”rasmi” untuk memudahkan mereka mendekati pelajar memandangkan AUKU itu sebenarnya telah menyekat kebebasan mereka. Oleh itu, ”tepuk dada, tanyalah selera”, setakat manakah ketelusan cadangan pindaan AUKU ini, masih lagi menjadi satu persoalan.

Setakat satu fakta, Dato’ Mustapha Mohamad (Menteri KPT pada masa itu) pada 2006 pernah berjanji dengan mahasiswa bahawa AUKU akan dipinda dan dibentangkan di parlimen pada bulan September tahun yang sama. Bagaimanapun, usul ini sering ditunda dan Dato’ Mustapa tidak mengemukakan sebarang kertas kerja semakan mengenai pindaan AUKU dalam keempat-empat kali sidang parlimen (September dan November 2006, juga pada Julai dan September 2007). Reaksi bersahaja Setiausaha Parlimen KPT masa itu, Datuk Dr. Adham Baba ketika Konvensyen MPP IPTA pada bulan Julai 2007 apabila diajukan persoalan tentang progress penggubalan dan semakan terhadap AUKU jelas mencerminkan sikap berdolak-dalik KPT dalam isu AUKU ini.

Apapun, kita tunggu dan lihat, adakah AUKU benar-benar akan digubal kali ini di bawah Menteri KPT yang baru, ataupun, apakah kesudahannya nanti juga adalah sama seperti kedua-dua Menteri KPT sebelum ini? Mahasiswa seharusnya lebih kritikal dalam membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat, sebagai satu langkah awal untuk berfikir secara lebih BEBAS dan RASIONAL.

No comments: